Alzheimer
Alzheimer atau sebutannya
alz-zhai-me, merupakan sejenis
penyakit penurunan fungsi saraf
otak
yang kompleks dan progresif. Penyakit Alzheimer bukannya sejenis
penyakit berjangkit. Penyakit Alzheimer adalah keadaan di mana daya
ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak
mampu mengurus diri sendiri. Penyakit Alzheimer bukannya `nyanyuk' yang
sekadar satu proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah
kesihatan yang amat menyeksakan dan perlu diberikan perhatian.
Alzheimer digolongkan ke dalam salah satu daripada jenis nyanyuk
(dementia) yang dicirikan dengan melemahkan pertuturan, kewarasan,
ingatan, pertimbangan, perubahan personaliti dan tingkah laku yang tidak
terkawal. Keadaan ini amat membebankan bukan saja kepada si
penghidapnya, malah ahli keluarga yang menjaga. Penyakit Alzheimer yang
menurunkan fungsi memori ini juga menjejaskan fungsi intelektual dan
sosial penghidapnya. Biasanya, ahli keluarga hanya datang membawa
pesakit berjumpa doktor apabila mereka sudah tidak tahan dengan gejala
pesakit.
Hingga kini, punca sebenar penyakit ini tidak diketahui. Tetapi, ia
bukanlah disebabkan penuaan. Bagaimanapun, saintis berpendapat, ia
dikaitkan dengan pembentukan dan perubahan pada sel-sel saraf yang
normal menjadi serat.
Risiko untuk menghidap Alzheimer, penyakit yang sinonim dengan warga
tua ini, meningkat seiring dengan pertambahan usia. ``Bermula pada usia
65 tahun, seseorang mempunyai risiko lima peratus menghidap penyakit ini
dan risiko ini meningkat dua kali ganda setiap lima tahun,
kata Pakar Psikogeriatrik, Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Esther Ebeenezer.
Menurut Esther, sekalipun penyakit ini dikaitkan dengan warga tua,
namun sejarah membuktikan bahawa pesakit pertama yang dikenal pasti
menghidap penyakit ini ialah wanita dalam usia awal 50-an.
Sejarah Alzheimer
Penyakit yang julung kalinya, ditemui oleh Dr. Alois Alzheimer pada 1907 ini, dinamakan Alzheimer, bersempena nama beliau.
Hasil bedah siasat, Alzheimer mendapati otak wanita tersebut bukan
saja mengecut malah, dipenuhi dengan gumpalan protein yang luar biasa
yang dipanggil plak amiloid dan serat yang berbelit-belit (neuro
fibrillary).
Amiloid protein yang membentuk sel-sel plak protein, dipercayai
menyebabkan perubahan kimia otak. Kemusnahan sel-sel saraf ini
menyebabkan neurotransmitter yang berfungsi menyampaikan mesej dari satu
neuron pada neuron lain terjejas.
Meskipun penyakit ini mula dikesan hampir satu kurun yang lalu, ia
tidak sepopular lain-lain penyakit seperti sakit jantung, hipertensi,
Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) atau sebagainya.
Kemungkinan ini disebabkan oleh penyakit ini tidak dapat dilihat dengan
mata kasar seperti penyakit hipertensi yang dapat dikesan melalui pemeriksaan tekanan darah secara berkala.
Pendedahan terhadap Alzheimer
Pendedahan mengenai penyakit Alzheimer masih rendah dan orang ramai
tidak begitu berminat mengambil tahu mengenainya hinggalah ia
dibincangkan secara terbuka yang ditulis sendiri oleh bekas Presiden
Amerika Syarikat (AS) yang ke-40, Ronald Reagan dalam suratnya yang bertarikh 5 November 1994.
Penyakit Alzheimer sukar dikesan kerana ramai yang beranggapan warga
tua yang mula lupa-lupa, adalah sesuatu yang lazim kerana faktor usia.
Sebaliknya kemungkinan itu adalah tanda-tanda awal seseorang itu
menghidap penyakit Alzheimer.
Peringkat Alzheimer
Lupa meletakkan kunci kereta, mengambil baki wang, tidak tahu membeli
barang ke kedai, lupa nombor telefon atau dos ubat yang biasa dimakan
antara sebahagian gejala ringan.
Apabila pesakit lupa mencampurkan gula dalam minuman, garam dalam masakan atau cara-cara membancuh
air dikategorikan sebagai peringkat sederhana.
Apabila pesakit sudah tidak mampu melakukan perkara asas seperti
menguruskan diri sendiri, keliru dengan keadaan persekitaran di rumah,
tidak mengenali rakan-rakan atau ahli keluarga terdekat, ia menandakan
tahap pesakit di peringkat yang serius.
Tanda-tanda lain
Pesakit juga boleh menjadi seorang yang agresif, cepat marah dan
hilang minat untuk berinteraksi atau hobi yang pernah diminatinya.
Dianggarkan bahwa pada sekitar 1950-an kira-kira 2.5 juta penduduk dunia
menghidap penyakit ini. Pada tahun 2000, penghidap Alzheimer dijangka
mencecah hingga enam juta orang.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menganggarkan lebih satu bilion
warga tua yang berusia lebih 60 tahun atau 10 peratus penduduk dunia
menghidap Alzheimer (2003). Peningkatan ini, ada kaitannya dengan
penduduk dunia yang semakin berusia, jangka hayat wanita meningkat
hingga 80 tahun dan 75 tahun bagi lelaki. Selain itu, tahap penjagaan
kesihatan yang lebih baik, kadar perkahwinan menurun, perceraian
bertambah dan mereka yang berkahwin tetapi tidak ramai anak.
Pesakit yang berada di tahap sederhana dan teruk akan menunjukkan
tingkah laku yang pelik. Antaranya, seperti menjerit, terpekik dan
mengikut penjaga ke mana saja walaupun ke tandas.
Selain itu, pesakit juga mendengar suara atau bisikan halus dan
mengadu ternampak bayangan menakutkan. Semua ini secara tidak langsung
memberi tekanan kepada penjaga kerana mereka terpaksa menjaga pesakit
`36 jam' sehari.
Pesakit juga kadang-kala akan berjalan ke sana sini tanpa sebab dan
corak tidur mereka juga berubah. Pesakit akan lebih banyak tidur pada
waktu siang dan berjaga pada waktu malam.
Secara puratanya, pesakit yang didiagnos menghidap penyakit ini
meninggal dunia akibat radang paru-paru atau pneumonia. Ini kerana,
dalam tempoh tersebut, pesakit hanya terlantar tanpa melakukan sebarang
aktiviti.
Apa yang menyedihkan, ialah pesakit sendiri tidak memahami apa yang
berlaku pada diri mereka dan memerlukan bantuan orang lain. Berita
buruknya mengenai Alzheimer ini, ia belum ada penawarnya. Tetapi,
gejalanya masih boleh dikawal dengan ubat-ubatan.
Ubat-ubatan yang diberi pada peringkat awal, boleh membantu memori pesakit seperti kognitif, aktiviti harian dan tingkah laku.
Individu yang berisiko
- Menghidap hipertensi apabila mencecah usia 40 tahun ke atas
- Penghidap penyakit kencing manis diabetes
- Kurang melakukan senaman
- Paras kolesterol yang tinggi
- Faktor keturunan - mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit ini pada usia lingkungan 50-an.